"hidup biarlah berjasa walaupun tidak dihargai"

Sabtu, 28 Februari 2009

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

TAFSIR al-Quran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

1. Mengikut masa l Tafsir zaman sahabat. Terdapat sahabat yang mentafsir al-Quran seperti Abu Bakar, Umar, Aisyah dan terutamanya Abdullah Ibn Abbas. Ini kerana berkat doa Rasulullah s.a.w. kepadanya ketika dilahirkan, di samping kesungguhan dan kesabarannya dalam menimba ilmu sehingga dikenali sebagai Turjuman al-Quran, juga dikenali dengan Habr al-Ummah. Katanya Demi Allah, kalau kamu tanyakan makna-makna ayat dalam al-Quran apa maksudnya, di mana diturunkan dan segala maksudnya nescaya aku akan menjawab untukmu.

* Tafsir zaman tabiin seperti Said bin Jubair yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Masud, Ibn Umar, Abu Hurairah dan lain-lain. Dikatakan Abu Ubaidah Ma'mar bin al-Muthanna, perintis pertama dalam pembukuan tafsir yang dinamakan al-Majaz Fi al-Quran al-Karim pada tahun 188H.

* Tafsir zaman selepas Tabi' at-Tabiin atau golongan kemudian. Seperti Ibn Jarir (310H) dengan tafsirnya Jami' al-Bayan Fi Tafsir al-Quran, al-Zamakhsyari dengan tafsirnya al-Kasyfu `an Haqaiq al-Tanzil Wa `Uyun al-Aqawil Fi Wujuh al-Ta'wil dan lain-lain.

2. Cara tafsiran

* Tafsir al-Quran dengan al-Quran.

* Tafsir al-Quran dengan hadis, terutamanya yang sahih dan mutawatir.

* Tafsir al-Quran dengan pendapat sahabat.

* Tafsir al-Quran dengan bahasa dan sastera.

3. Sumber tafsiran

* Tafsir dengan ma'thur dikenali juga tafsir riwayat.

* Tafsir dengan ra'yi (akal).

Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya Fath al-Qadir (1 / 12) membahagikan dua cara ahli tafsir :

* Terikat dengan riwayat.

* Mengembangkan tafsir kepada aspek bahasa dan ilmu-ilmu alat yang lain.

Ulama sepakat menerima tafsir dengan ma'thur dan beramal. Ibn Kathir berkata dalam mukadimah tafsirnya (1 / 3) - Jika kami tidak mendapati tafsir dalam al-Quran dan juga sunah, kami akan kembali kepada pendapat sahabat kerana mereka lebih mengetahui dengan penyaksian dan hal ehwal mereka ketika turunnya ayat.

Ijtihad

Antara kitab-kitab tafsir mathur : Jami' al-Bayan - Ibn Jarir at-Tabari, Al-Kashfu Wa al-Bayan - ath-Tha'alabi, Ma'alim at-Tanzil - Abu Muhammad al-Husain bin Masud al-Baghawi, Ad-Durru al-Manthur - Jalaludin as-Suyuti, Tafsir al-Quran al-'Azim - Abu al-Fida' Ismail Ibn Kathir.

Adapun tafsir ar-Ra'yi yang dibina atas asas akal dan ijtihad para ulama berkhilaf hukum keharusannya. Ada yang menyokongnya dan ada yang mencegahnya. Imam al-Ghazali dan ar-Raghib al-Asfahani menganggap khilaf ini bersifat lafzi bukan hakiki, justeru tidaklah menjadi masalah beramal dengan tafsir ra'yi tetapi disyaratkan dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh ulama. (Lihat Tafsir Bi ar-Ra'yi, Dr. Hamad al-Zaghlul hal 107-115).

Walaupun begitu kalau ditafsirkan al-Quran semata-mata dengan akal, hukumnya haram seperti nas hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas - sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa ilmu, nescaya disediakan tempatnya daripada neraka. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

Antara tafsir ar-Ra'yi ialah: Madarik at-Tanzil oleh Imam Abdullah bin Ahmad an-Nasafi, Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta'wil oleh Al-Baidhawi, Lubab at-Ta'wil oleh Al-Khazin, Ruh al-Ma'ani oleh Al-Alusi, Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib oleh Al-Fakhr al-Razi.

4. Ada juga ulama membahagikan tafsir mengikut subjek, seperti berikut :

* Tafsir Tahlili.

* Tafsir Al-Mathur.

*Tafsir Alr-Ra'yi.

* Tafsir As-Sufi.

Ibn as-Salah dalam `fatawanya' menyatakan ``Aku dapati daripada Imam Abi al-Hasan al-Wahidi ahli tafsir berkata : Telah mengarang Abu Abdul Rahman as-Sulami - Haqaiq at-Tafsir dan jika dia beriktikad begitu maka hukumnya kafir. Justeru an-Nasafi berkata dalam akaidnya, ``Segala nas-nas mengikut zahirnya dan berpaling daripadanya kepada mana-mana yang didakwa oleh ahli batin termasuk dalam ilhad.

At-Taftazani menyatakan, dinamakan Malahidah (golongan mulhid) dengan batiniah kerana dakwaan mereka bahawa segala nas-nas bukan mengikut zahirnya, tetapi mempunyai makna-makna batiniah yang tidak diketahuinya kecuali guru, matlamat mereka menafikan syariah semuanya. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani berkata : Adapun ucapan ahli tasawuf tentang al-Quran, ia termasuk dalam isyarat kepada kehalusan-kehalusan yang terdedah kepada golongan ini, dan mungkin dilaksanakan antaranya dan zahir yang dikehendaki, inilah kesempurnaan iman dan sebenar-benar makrifat. Mereka beriktikad bahawa yang zahir bukan kehendak tetapi batin sahaja, sebenarnya termasuk iktikad batiniah yang mulhid membawa kepada menafikan syariah semuanya, jauh sekali daripada tuan guru tasawuf kita terbabit seperti ini. Sedangkan kenyataan mereka : Tidak dapat tidak mesti daripada zahir per-tamanya, sesiapa yang sangka sampai kepada faham rahsia
al-Quran sebelum hukum-hukum tafsir samalah seperti yang mendakwa sampai ke dalam rumah sebelum masuk pintu lagi.

Menafikan

Secara umumnya tafsir sufi dibolehkan dengan syarat-syarat :

* Jangan menafikan bagi zahir al-Quran.

* Mempunyai dalil syarak yang menyokongnya.

* Tidak bertentangan dengan syarak dan akal.

* Jangan mendakwa bahawa yang dikehendaki itu sahaja tanpa yang zahir tetapi mesti mengiktiraf yang zahir seperti dinaskan oleh al-Alusi.

Antara tafsir tasawuf ialah: Tafsir al-Quran al-Azim oleh al-Imam at-Tusturi (383H), Haqaiq at-Tafsir oleh al-Allamah as-Sulami (412H), `Arais al-Bayan Fi Haqaiq al-Quran oleh as-Shirazi (606H), Tafsir Al-Fiqhi, Tafsir Al-Falsafi, Tafsir Al-Ilmi (sains).

Era teknologi terkini dengan ciptaan-ciptaan moden serta penemuan-penemuan hukum sains baru, adalah dibolehkan al-Quran dimasukkan dalam bidang ilmu ini bagi menyatakan bahasa sains dan al-Quran tidak bertentangan tetapi seiring.

Mengenai hukum mentafsir al-Quran dengan sains atau sebaliknya, ulama telah khilaf antara yang menyokong dan menentangnya. Antara yang menentang ialah Imam al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut dengan berhujah, ia boleh membawa kepada pemikiran yang tidak dikehendaki oleh al-Quran. Ini kerana Allah tidak menurunkannya bermatlamatkan teori-teori ilmu sains dan perkara-perkara seni. Kerana teori boleh berubah sedangkan al-Quran bersifat thabit dan tetap. Justeru selayaknya ditinggalkan al-Quran sebagai kitab suci dengan keagungannya. Lihat Mukadimah Tafsir Syaltut halaman 11-14.

Pendapat

Sependapat dengan Syeikh Syaltut ialah Syeikh Amin al-Khauli yang menaqalkan pendapat Imam as-Shatibi, inilah juga pendapat Imam Akbar Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Abdullah Masud, Syeikh Abu Bakar Zikri dan termasuk juga pengarang Zilal al-Quran as-Shahid Syed Qutb.

Antara yang menyokongnya pula Imam al-Ghazali melalui kitab tafsirnya - Jawahir al-Quran yang dikarang selepas Ihya', kerana berhujah segala ilmu daripada Allah, mengikuti pendapat ini Ibn Abi al-Fadl al-Mursi yang dinyatakan oleh as-Suyuti dalam Itqan 4 / 27-31.

Pandangan yang rajih

Dengan mengamati hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, al-Qardhawi menyeru pa-
ra ulama kepada beberapa perkara :

* Keperluan mengkaji keutamaan ilmu-ilmu ini apabila mencakupi kefahamannya, sudah tentu lebih mudah untuk berkhidmat menjelaskan makna-makna al-Quran.

* Kesedaran golongan pakar dalam ilmu yang tidak disedari oleh golongan lain.

* Mensyaratkan penggunaan sains dalam tafsir seperti kepakaran, tidak menyusahkan, meraikan bahasa al-Quran, menjauhkan daripada tuduhan semua umat jahil dan beberapa syarat lagi.(Lihat Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 379-385).
Mengenai perbezaan mukjizat sains dalam al-Quran dengan tafsir sains, mengikut al-Qardhawi, pada kedua-duanya terdapat perbezaan, iaitu mukjizat sains dalam al-Quran lebih sempit berbanding tafsir sains atau ilmu ini. Justeru itu Rabitah al-'Alami al-Islami menubuhkan satu badan dinamakan Badan Ilmiah Alam Bagi Mukjizat al-Quran. Antara yang terlibat secara langsung seperti Syeikh Abdul Majid az-Zandani, Profesor Dr. Zaghlul an-Najjar dan lain-lain.
Selain tafsir-tafsir yang disebut tadi ada juga Tafsir Al-Adabi, Tafsir Ijmali, Tafsir Muqaran (perbandingan) dan Tafsir Maudhu'i.

Pendirian

Tafsir Maudhu`i ini seperti mengambil satu-satu tajuk untuk dikaji seperti kejadian langit, manusia atau lain-lain. Dr. Muhammad al-Bahi dalam kitabnya Nahwa al-Quran halaman 89 menjelaskan seperti berikut - seperti menjadikan al-Quran dalam perlembagaan masyarakat atau pendirian al-Quran terhadap madiah atau menyelesaikan kehendak surah.
Mengikut Ibn Jarir at-Tabari, dengan sanadnya kepada Ibn Abbas, tafsir terdapat empat bahagian :

* Difahami oleh orang arab.

* Tafsir yang tidak diuzur seorang pun dengan kejahilannya.

* Tafsir yang hanya diketahui ulama.

* Tafsir yang tidak diketahui kecuali Allah. Lihat Mukadimah Tafsir at-Tabari 1 / 75.

0 comments:

Catat Ulasan